ZAKARIA ALI (Zakaria bin Ali; Prof. Madya Dr.)
LAHIR : 21 Julai 1946, di Kampung Batu, Rembau, Negeri Sembilan.
ALAMAT : 24, Solok Tenggiri, Seberang Jaya, 13700 Butterworth, Pulau Pinang.
ALAMAT : 24, Solok Tenggiri, Seberang Jaya, 13700 Butterworth, Pulau Pinang.
PEMINAT dan peneliti sastera Melayu lebih mengenali Zakaria Ali sebagai penulis cerpen dan puisi di samping lukisan-lukisan yang diciptakannya. Pada tahun 1991, dunia kesusasteraan tanah air mula menyedari akan bakat Zakaria bukan setakat itu sahaja. Beliau sesungguhnya berbakat besar dalam penulisan novel dan Empangan adalah buktinya.
Anak keenam daripada 12 adik beradik ini menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Air Molek, di Johor Bahru pada tahun 1952 hingga 1953. Zakaria menyambung pelajarannya di Undang Rembau English School, Rembau pada tahun 1954 hingga 1957. Beliau kemudiannya bersekolah di Government English Primary School, Port Dickson pada tahun 1958 hingga 1964. Pada tahun 1968, Zakaria melanjutkan pelajaran di Southwestern University, Georgetown, Texas, Amerika Syarikat, selama empat tahun atas Biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman, Yayasan Asia dan The Teele Foundation of Southwestern University dan berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni halus pada Mei 1972. Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana di Stephen F. Austin State University pada Ogos 1973 dan Ijazah Sarjana dalam pengkhususan sejarah seni di Universidad de las Americas, Puebla, Mexico pada Disember 1976. Minatnya dalam bidang akademik menyebabkan beliau melanjutkan pengajian di Harvard University, Massachusetts dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada Mac 1991.
Sewaktu usianya menjangkau dua puluhan, Zakaria pernah menjadi pekerja kilang di ESSO Refinery, Port Dickson pada tahun 1965. Semasa menuntut di Texas, Zakaria bekerja di beberapa kilang, termasuk kilang besi di Houston, dan kemudian memegang jawatan “graduate assistant” pada tahun 1972. Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana yang bermula pada tahun 1977, Zakaria menjadi pensyarah di Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang sejarah seni pada Januari 1993 sehingga kini. Zakaria juga pernah menjadi penasihat kepada pelajar-pelajar tahun akhir untuk projek seni dan latihan ilmiah dan menyelia sejumlah calon Sarjana dan Doktor Falsafah. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Bahagian Seni Halus pada tahun 1982 hingga tahun 1984 dan tahun 1989 hingga tahun 1991. Di samping itu, Zakaria juga pernah menjadi Timbalan Pengarah Pusat Seni pada tahun 1983 hingga 1984 serta pernah menjadi Penyelaras Rancangan Sijil Seni Kreatif di bawah usaha sama Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada tahun 1990 hingga 1996.
Zakaria Ali meneroka dunia seni kreatifnya menerusi dua wadah, iaitu tulisan dan lukisan. Sebagai penulis, Zakaria menerapkan sikap dan pandangannya melalui penulisan esei, rencana, kertas kerja, sajak, cerpen, novel dan diari. Manakala bakat melukis yang dimiliki membawa Zakaria mendekatkan diri dalam bidang seni halus, terutama bidang catan dan cat air. Zakaria Ali bukan sahaja mampu menghasilkan karya dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam bahasa Inggeris. Beliau lebih mengenali sastera Inggeris terdahulu daripada sastera Melayu, mengenali Watter de la Mare sebelum Chairil Anwar, mengenali Dickens sebelum A. Samad Said.
Bakatnya dalam bidang puisi terserlah sejak pengajiannya di luar negara dengan kekerapan tersiarnya puisi beliau dalam majalah Magaphone, Southwestern Magazine, National Echo dan Pacific Moana Quarterly. Manakala di tanah air, Dewan Sastera memberi laluan kepada puisi-puisinya untuk tatapan pembaca. Puisi awalnya berjudul “Sonnet I” dan “Doubt” tersiar dalam Southwestern Magazines pada tahun 1970.
Sebenarnya Zakaria Ali melibatkan diri dalam dunia penulisan pada sekitar tahun 1968 apabila cerpen pertamanya “The Letter” mendapat tempat dalam majalah pelajar Southwestern Magazine semasa menuntut di luar negera.
Kemampuan Zakaria menguasai bahasa-bahasa lain, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol memberi ruang kepadanya menceburi bidang penterjemahan. Ini terbukti apabila beliau menterjemahkan cerpen daripada bahasa Sepanyol “Masalla del Amor” dan “El Pajaro” karya Octavio Paz ke dalam bahasa Melayu yang disiarkan dalam Dewan Sastera, Februari 1972.
Beliau juga menghasilkan esei tentang seni halus yang banyak tersiar dalam majalah Dewan Budaya, Dewan Sastera, Masakini dan Dewan Masyarakat. Dari November 1980 hingga September 1981, Zakaria mengisi ruangan bulanan Dewan Budaya. Di samping, itu Zakaria juga gemar menulis diari yang lebih menjurus kepada bentuk catatan peristiwa, perasaan dan buah fikiran. Antara catatan diarinya itu telah disiarkan dalam Dewan Sastera terbitan Mac, September 1973 dan April 1974. “Ten Days in Europe” ialah catatan yang tersiar dalam Melintasi Benua, terbitan PENA, 1994.
Dalam bidang seni lukis pula, Zakaria beranggapan bahawa sebenarnya bidang ini dapat memberi penghargaan atau apresiasi terhadap objek-objek seni. Zakaria pernah mengadakan pameran lukisan perseorangan di Muzium dan Galeri Seni, Universiti Sains Malaysia pada November 1982. Sementara itu, semasa di luar negara, beliau berkesempatan mengadakan pameran seperti di Stephen F. Austin Art Gallery pada tahun 1973, di The Beaumont Art Museum, Beaumont, Texas pada Jun 1971 di Pan Art Gallery, Fondren Square Houston, pada Ogos 1969 dan di Fellowship Hall, St. Mark’s Methodist Church, Texas pada Julai 1968.
Pameran bersama turut disertai oleh Zakaria, antaranya di Pottery Village Gallery, Artville, Pulau Pinang pada tahun 1992, di Muzium dan Galeri Seni, Pulau Pinang pada April 1989, di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1977, di Galeria de Instituto Norteamericano de Relaciones Culturales, Mexico City pada Januari 1976 dan di Southwestern University pada tahun 1968, 1969, 1970 dan 1971.
Sejak 1996, Zakaria menjadi kurator untuk Pesta Pekan Seni, Ipoh. Zakaria ikut serta dalam kesemua pameran tersebut. Antaranya ialah “The Masks of Yusuf Ghani” dalam katalog pameran di Galeri Citra, Kuala Lumpur (23 Ogos–11 September 1995); “The Art of Chew Teng Beng” dalam katalog Dr. Chew Teng Beng: A Retrospective – 45 Years of Selected Works di Galeri Seni Negeri Pulau Pinang (2–31 Ogos 1998); “Notes on Self-Potraits” dalam katalog AKU 99: Potret Diri di Galeri Petrones (5–11 Julai 1999). Zakaria juga telah mengadakan dua pameran solo, iaitu “Kesan dan Ingatan” di Muzium dan Galeri USM (1–15 November 1982) dan “Retrospektif 1971-1999” di The Art Galery, Pulau Pinang (31 Januari–13 Februari 1999).
Dalam persidangan International Exhibition dan Conference of Islamic Art pada 16–19 April 1999, di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Zakaria membentangkan kertas kerja “Making Sense of Art Objects”. Bermula dari bulan Ogos 1996 hingga sekarang, Zakaria menulis dalam ruangan “Notes on Local Lit” dalam akhbar The New Straits Times pada setiap hari Rabu (dua minggu sekali) dengan membuat ulasan terhadap novel, cerpen, puisi dan esei dalam persuratan Melayu Moden.
Sesuai dengan tugasnya sebagai ahli akademik di sebuah institusi pengajian tinggi, Zakaria banyak melibatkan diri dalam kegiatan sosial dan pendidikan. Beliau juga menyalurkan sumbangan pemikiran melalui kertas-kertas kerja yang dikemukakan dalam seminar, persidangan, kongres, pertemuan dan sebagainya.
Dalam persidangan antarabangsa “Le Campa et Monde Malais” yang diadakan di University of California, Berkeley pada 30-31 Ogos 1990, beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Notes on the Islamic Art in Champa”. Dalam kegiatan budaya, Zakaria pernah dilantik memegang beberapa jawatan penting seperti sebagai Penasihat Angkatan Pelukis Semenanjung (1992), Pengadil Bahas Bahasa Inggeris (1992) dan Pemidato Umum di Balai Seni Lukis Negara (1991 dan 1993).
Beberapa hadiah telah diterimanya sepanjang penglibatan beliau dalam dunia penulisan. Pada tahun 1971. Zakaria memenangi Hadiah Karya Sastera untuk puisinya yang berjudul “Sungai”. Beliau telah memenangi karya hadiah yang sama pada tahun 1975 bagi cerpennya yang berjudul “Arah ke Selatan”. Beliau juga telah memenangi tempat kedua (tiada pemenang tempat pertama) dalam Sayembara Novel anjuran Yayasan Sabah-GAPENA ke-IV pada tahun 1991 untuk novelnya yang berjudul Empangan. Novel ini juga berjaya meraih Hadiah Sastera Malaysia 1991/92 dan dijadikan teks bagi calon-calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan